Entri ni mungkin sesuai bila raya besok, tetapi sebab idea tiba-tiba sampai, maka saya teruskan jugalah yee.. jangan marah ye bedah...
Setiap kali tiba musim perayaan, kita pasti akan disuapkan dengan pelbagai jualan dengan potongan harga di berbagai tempat, samada potongan harga tersebut dijalankan oleh pasaraya-pasaraya besar mahupun kecil. Samada potongan harga tersebut dengan pemantauan agensi berwajib mahupun tidak. Pendek kata, asalkan tiba musim perayaan, kita pasti akan melihat pelbagai diskaun menarik dimana-mana.
Namun topik kali ini adalah bukanlah samada perlu membuat perkara yang sama sekiranya anda menjual melalui internet ataupun tidak, kerana jawapannya adalah PERLU. Umum mengetahui, mencari produk dan servis melalui internet adalah kerana kos yang lebih rendah untuk memasarkan dan lebih mudah untuk mempromosikan produk kita ke pengguna / pelanggan sasaran. Lebih menguntung sekiranya sudah ada pembeli setia. Maka umum mengetahui bahawa sepatutnya harga produk di internet sepatutnya jauh lebih murah dari pasaran.
Maka ini bukanlah alasan untuk tidak mengadakan potongan harga sekali sekala. Para usahawan adalah diingatkan bahawa mendapat keuntungan lebih sedikit untuk sesuatu produk tetapi mendapat permintaan berterusan adalah jauh lebih penting daripada orang beli sekali, dapat untung besar dan kemudiannya pelanggan tersebut tobat tak nak beli dah.. Mengikut kajian didalam teori NLP, dikatakan kos mencari pelanggan baru berpuluh kali ganda lebih mahal daripada kos mengekalkan pelanggan sedia ada dan menghilangkan pelanggan tersebut. Jadi dengan erti kata lain, matlamat utama adalah, mendapatkan pelanggan setia seramai yang boleh dan memastikan permintaan berulangan dan berterusan.
Berikut adalah tips saya untuk mereka-mereka yang ingin membuat promosi dan potongan harga produk pada musim perayaan.
1. Berlaku Jujur
Kerap kita melihat penjual yang menawarkan potongan harga yang tinggi sehingga 80% tetapi harga selepas potongan tersebut masih sama dengan penjual lain yang tidak mengenakan potongan harga mahupun yang hanya memberikan potongan harga yang sedikit.
Hujah saya adalah seperti berikut:-
Sekiranya pelanggan anda adalah seorang yang rajin membuat melayari (surfing) dan membuat perbandingan harga, pelanggan anda mungkin akan terjumpa dengan penjual yang lain dan sekiranya perbezaan sangat ketara, pelanggan mungkin akan melabelkan anda sebagai tidak jujur.
2. Tanya Pendapat dan buat kajian.
Tanya pendapat daripada rakan-rakan, pelanggan sedia ada, dan cuba perhatikan “trend” pasaran lebih cenderung kepada produk apa. Produk apakah yang mereka inginkan atau yang mereka rasakan akan mendapat permintaan. Buat sedikit perubahan dan fikirkan bagaimana anda boleh merebut peluang musim perayaan ini untuk melariskan produk anda.
3. Tetapkan satu tempoh yang sesuai dengan kuasa pembeli.
Menetapkan tempoh yang sesuai adalah sangat kritikal dan penting kerana ianya akan mempengaruhi kuasa pembeli. Sebagai contoh, sekiranya pelanggan sasaran anda adalah pekerja swasta, atau golongan menengah yang rata-rata menerima gaji pada 10 hari sebelum hujung bulan sehingga 5 hari selepas awal bulan, maka tetapkan potongan harga anda dalam tempoh tersebut. Penetapan tempoh ini juga boleh diubah -ubah mengikut kesesuaian penjual sendiri seperti tempoh satu bulan dan lain-lain.
4. Gunakan pelbagai sumber untuk memaklumkan potongan harga yang anda laksanakan.
Ketahuilah bahawa selain blog dan laman menjual produk di internet, terdapat pelbagai lagi laman-laman yang menawarkan khidmat yang sama. Gunakan semua laman yang boleh baik ianya adalah laman sosial, laman blog, vlog, photolog, all in one, dan lain-lain. Target utama adalah bakal pelanggan mesti tahu anda menjual produk tersebut, dan khidmat anda sentiasa terbayang didalam fikiran mereka. Ini samalah seperti kita perhatikan iklan BMW di televisyen,; iklan yang berulang-ulang bukanlah kerana orang akan berkejar-kejar ke showroom membeli kereta BMW, tetapi untuk memastikan ‘brand’ atau jenama tersebut imprinted didalam minda penonton.
5. Adakan potongan khas bagi semua pengikut anda yang setia
/ yang mengikut anda secara terus ataupun kepada mereka yang rajin singgah dan memberikan komen ke laman anda. Ini akan menarik minat bakal pelanggan yang menyinggah untuk menjadi ‘follower’ anda!. Contoh, non follower akan terima 25% dan follower akan terima 30%! atau percuma kos pengangkutan! Mereka ini kemudiannya akan merasakan lebih dihargai dan setia kepada anda.
6. Pastikan anda memiliki akaun di YouTube
dan mempunyai sebuah kamera digital yang mesra YouTube. Sentiasa mengambil gambar produk dari pelbagai sudut dan ambil video, linkkan atau tampalkan (embedded) gambar dan video tersebut didalam laman anda. Perlu diketahui, pelanggan yang membeli melalui internet, mungkin juga adalah seorang yang sangat teliti, sentiasa membuat perbandingan antara penjual dan inginkan keyakinan daripada anda. Untuk pengetahuan anda, video anda tidak semestinya memaparkan produk anda, ianya boleh juga mengenai anda dan keluarga anda..
Suka saya kongsikan mengenai seorang usahawan bangsa Cina di Malaysia yang mana pada suatu ketika dahulu adalah penjual pertaman didalam majalah Motor Trader yagn memaparkan mukanya sendiri di iklan menjual keretanya. Akibat daripada tindakannya itu, jualannya meningkat mendadak dan cawangan-cawangan baru dibuka. Sejak dari itu, sekiranya tuan-tuan perasan, hampir semua penjual kereta dan lain-lain, meletakkan gambar foto mereka di iklan. Apakah kelebihannya dan apakah rahsianya? Rahsianya adalah, pembeli merasa yakin, bahawa si penjual adalah orang yang bertanggungjawab dan benar kerana berani meletakkan wajahnya di iklan. Kepercayaan yang timbul ini akan menarik pelanggan secara tidak sedar.
Rahsianya adalah, apabila pelanggan percayakan anda, jangan derhakai kepercayaan yang diberikan!
nizran :- 8 Mac 2011